Ciri-Ciri Sahabat Sejati.

Sahabat sejati. Ramai mencari sahabat sejati. Bertanyakan akan ciri-cirinya. Berhajat untuk mempunyainya.

Jika dilemparkan pertanyaan kepada saya: “Apakah ciri-ciri seorang sahabat sejati?”

Saya akan menjawab dengan mudah: “Dia adalah yang mengingatkan kamu kepada Allah SWT.”

Yang kalau kita pandang kepadanya, rasa kasih tertumpah. Yang kalau kita bersamanya, jiwa kita terasa lapang dan senang. Yang kalau kita bergembira dengannya, kita tidak lalai. Yang kalau kita terlupa, dia akan mengingatkan.

Namun, mencari sahabat sejati, tidak ramai yang menjumpainya.

Mengapa?

Kerana pertamanya, kita sendiri tidak berusaha menjadi sahabat sejati kepada yang lainnya.

 

Kita Tidak Pernah Berkorban Dengan Ikhlas.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak beriman seseorang kamu, hinggalah dia mencintai saudaranya, sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” Hadith Muttafaq ‘Alaih.

Hadith ini memberikan makna yang sangat tinggi kepada erti persahabatan, apabila keimanan menjadi taruhan. Tidak beriman, yakni tidak sempurna keimanan seseorang, sekiranya dia sendiri tidak mengasihi sahabatnya sebagaimana dia mengasihi dirinya. Begitulah Islam membina masyarakat yang kuat ukhuwwahnya. Mengajak agar kita mementingkan sahabat kita, dan tidak menjadi manusia yang pentingkan diri sendiri.

Namun siapakah yang menyantuni hadith ini?

Rata-rata mengharapkan sahabatnya ikhlas berkorban buatnya. Tetapi siapakah yang bergerak bersungguh-sungguh berkorban buat sahabatnya?

Dan pernahkah kita bertanya, mengapa keimanan dipertaruhkan di dalam hadith ini? Apa kena mengena iman dengan ukhuwwah?

Kerana orang yang benar ukhuwwahnya, adalah yang mempercayai janji Allah SWT dan RasulNya dalam medan ukhuwwah ini.

Ingatlah firman Allah SWT:

“Pada hari itu(akhirat) sahabat-sahabat karib, setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).”  Surah Az-Zukhruf ayat 67.

dan sabda Rasulullah SAW:

“Tujuh golongan yang akan dinaungi Allah pada hari tiada naungan melainkan naunganNya: ….. Dua lelaki yang kasih mengasihi kerana Allah, bertemu dan berpisah keranaNya.” Hadith Riwayat Bukhari.

Ya. Tanpa keimanan, mustahil kita akan mempercayai perkara ini.

Dan mustahil kita akan membina persahabatan kita, dengan matlamat untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Dan bila kita tidak mahu mendapatkan keredhaan Allah SWT, mustahil kita mahu menjadi sahabat yang sejati kepada sahabat kita.

Membuatkan kita tidak pernah mahu berkorban dengan ikhlas kepadanya.

Kerana kita akan sentiasa terfikir: “Apa yang dia boleh berikan kepada aku?”

 

Tidak Sabar Melalui Proses.

Persahabatan itu perlu proses untuk mencapai tahapnya yang cantik dan hebat.

Bukanlah selepas sehari dua perkenalan, terus asyik dan erat. Persahabatan yang tidak melalui ujian, cabaran, dan dugaan belum boleh dikatakan persahabatan yang mantap. Hatta Rasulullah SAW dan para sahabat baginda, ukhuwwah mereka sering teruji.

Mereka teruji dengan cerita yang luar akal, yang dilalui oleh Rasulullah SAW seperti Isra’ dan Mi’raj. Mereka teruji dengan kesempitan hidup, dipulau bersama Rasulullah SAW selama 3 tahun 3 bulan. Mereka teruji dengan peperangan demi peperangan, diseksa dan sebagainya, hanya kerana punya hubungan dengan Rasulullah SAW. Mereka juga dibina fikrah mereka, dengan pengisian-pengisian daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Bukannya duduk lenggang begitu sahaja, dan tiba-tiba berkata: “Aku cintakanmu Rasulullah SAW.”

Bukan. Mereka melalui ‘proses’.

Maka begitulah kita manusia dengan manusia yang lain. Mustahil terus erat ukhuwwahnya, tanpa melalui proses. Tanpa wujudnya kefahaman akan makna sebenar ukhuwwah, tanpa melalui cabaran dan dugaan bersama-sama, tanpa bermusafir bersama, tanpa berkongsi kelemahan dan kekuatan, tanpa melalui satu jangka masa. Mustahil.

Tetapi ramai antara kita ‘tidak bersabar’. Terus hendak berjumpa dengan ukhuwwah yang sejati.

Kerana itu hingga kini terus-terusan tidak menjumpai.

 

Penutup: Ukhuwwah Dengan Manusia, Berurusan Dengan Kelemahan Manusia.

Dan seperkara lagi yang ramai terlepas, adalah kelemahan-kelemahan yang akan muncul kala bersahabat dengan seseorang.

Semestinya, bila bersahabat dengan manusia, maka akan muncul lah kelemahan demi kelemahannya sebagai seorang manusia. Tahap keimanan manusia adalah turun dan naik. Maka begitu jugalah sahabat kita. Turun dan naik.

Ada masanya dia manis dengan kita. Dan semestinya ada masa dia akan pahit dengan kita. Ada masanya dia baik dengan kita, ada masanya dia mungkin akan kurang melayani kita. Begitulah pasang surutnya.

Kerana itu, mengharap kepada sahabat hakikatnya bukanlah satu perkara yang baik untuk diamalkan. Tetapi kitalah yang perlu menjadi harapan sahabat kita. Melengkapinya. Memenuhinya. Menjadi yang terbaik buatnya.

Sekiranya kita tidak mempersiapkan diri untuk menerima kelemahan sahabat kita, untuk membantu melengkapkan kekurangannya, sampai bila pun kita tidak akan mampu menjumpai ukhuwwah yang manis, yang mampu membawa kita ke syurgaNya.

Jadi, kita perlu sentiasa bermuhasabah.

Makna ukhuwwah ini bukan semudah mengucap uhibbukafillah.

Tetapi ia hakikatnya adalah praktis hidup yang hendak mencari redha Allah SWT.

 

sumber: http://langitilahi.com/8603

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s